Wednesday, March 3, 2010

:: Kenali Virus Dlm Diri Anda ::

(Ditulis oleh Sahabat Blogger Santai @ al-Misri)

Kita tahu virus-virus yang membawa pelbagai penyakit merbahaya yang boleh memudaratkan kesihatan kita. Namun kita lupa ada virus yang lebih bahaya jika ia sudah mula menjangkiti hati kita. Virus-virus hati iaitu sifat-sifat keji yang bersarang di hati, bukan sahaja merosakkan ibadah kita, bahkan juga mengganggu pergaulan sesama suami isteri, jiran tetangga, rakan sekerja dan saudara mara. Jesteru itu, kita perlu mengenal penyakit-penyakit hati ini supaya segera mencari penawarnya .

Ego & Sombong

Mungkin kita orang yang berpangkat atau mempunyai harta yang berlimpah ruah. Boleh jadi juga kita adalah seorang yang mahir dalam bidang tertentu, lalu kita merasakan diri tidak setaraf dengan mereka yang berpangkat rendah atau tidak mempunyai apa-apa kelebihan. Ada waktunya kita merasakan maruah diri tercabar bila terpaksa duduk semeja dengan mereka yang dianggap golongan bawahan. Nampaknya kita tidak sedar hati mula dijangkiti virus ego dan sombong. Ingatlah bahawa ego hanya membuatkan diri kita terasa asing di kalangan rakan dan taulan. Hanya Allah yang maha hebat ke atas makhluk ciptaanNya.

Pemarah

'Naik angin' adalah salah satu tanda anda dijangkiti penyakit pemarah. Pantang ada yang kurang menyenangkan hati atau terganggu perasaan, mulalah hati rasa terbakar. Penyakit ini kalau berada di tengah pergaulan, boleh menyinggungkan perasaan pihak tertentu. Rasa marah perlu di atasi dengan bersangka baik, berlapang dada menerima teguran, pemaaf dan sabar. Dengan demikian kita dapat mewujudkan suasana yang harmoni dalam pergaulan.

Hasad Dengki

Virus ini kalau bersarang di hati, kita tidak akan hidup senang jika melihat kejayaan orang lain. Kegembiraannya hanyalah bila orang itu ditimpa kesusahan.
Hati selalu sahaja berkata,' kalaulah rezeki itu milik aku..' itu menunjukkan kita tidak redha bila Allah memberikan rezeki itu kepada orang lain, sebaliknya mengharapkan diberikan kepada kita. Sedangkan kita tidak berusaha untuk mendapatkannya.

Apalah gunanya menyimpan hasad dengki. Allah menentukan takdir seseorang dengan pemberian yang berbeza-beza. Jika ada kelebihan pada sudut tertentu pada seseorang, maka sudah pasti ada juga kelemahannya yang tertentu di mana kita diberi kelebihan itu. Bersyukurlah dengan apa yang ada pada kita.

Dendam

Dendam adalah satu penyakit di mana rasa tidak puas hati terhadap seseorang hingga timbul niat mahu menyakiti atau membalas perbuatan yang dilakukan. Perasaan dendam boleh merosakkan pergaulan bukan sahaja dengan orang yang didendami bahkan orang-orang yang rapat dengannya. Penyakit dendam ini boleh dihapuskan sekiranya kita sentiasa bersabar dan redha atas apa yang berlaku. Memberikan maaf adalah penawar mujarab bagi penyakit ini.

Buruk Sangka

Sangkaan buruk kita kepada orang lain belum dapat dipastikan lagi kebenarannya. Mungkin apa yang kita sangka, menyimpang terlalu jauh dari keadaan sebenar. Kesan dari penyakit ini boleh menimbulkan fitnah dan mengundang perasaan marah serta dendam orang lain kepada kita. Misalnya, kenalan yang kita sangka sombong dan tidak mesra seperti selalu, mungkin menghadapi masalah atau sibuk dengan kerjanya. Tetapi dengan bersangka buruk, kita mengambil tindakan dengan menjauhkan diri daripadanya. Buruk sangka ini boleh dihindari dengan membisikkan sangkaan-sangkaan baik dalam hati kita!


Bakhil/Kedekut

Di antara tanda penyakit ini menjangkiti hati ialah apabila terlalu berkira dengan orang lain. Jangankan hendak bersedekah atau memberi hadiah, hendak memberi hutang pun susah. Kita juga mungkin kedekut dari sudut ilmu. Pengetahuan yang ada susah hendak ditunjuk ajar kepada orang lain. Kononnya takut orang lain lebih berilmu dari kita. Kita tidak sedar, bahawa ilmu yang dipinjamkan oleh Allah kepada kita adalah untuk dikongsi dengan orang lain.

Begitu juga dengan apa saja nikmat pemberian Allah. Kedekut dengan nikmat bererti kita tidak amanah dengan Tuhan. Sedangkan dengan bersifat pemurah dan sentiasa memenuhi hajat orang lain, Allah akan menolong kita memenuhi hajat kita pula, disamping membuka pintu pergaulan dalam suasana yang harmoni dan berkat.

KESIMPULAN

Sudah jelas dalam pergaulan, tindak tanduk kita dikawal dan dipengaruhi oleh hati. Sekiranya mahu memperbaiki pergaulan, maka terlebih dahulu perlulah mencegah atau merawat hati kita dari segala virus yang keji ini. Peliharalah hubungan hati dengan Allah dan sesama manusia.

0 comments:

:a: :b: :c: :d: :e: :f: :g: :h: :i: :j: :k: :l: :m: :n:

Post a Comment